Monday 30 November 2015

8 Tips Menghilangkan Sunburn. Cepat Rawat Muka & Kulit!

 


Tips Menghilangkan Sunburn (Selaran Matahari)

 

Anda mesti menggaru kepala sekarang ini. Selaran matahari? Tidak biasa dengar bukan?

Baik, hari ini ialah satu pelajaran yang baru. Selaran matahari, atau lebih dikenali sebagai sunburn, boleh berlaku jika kulit kita terdedah kepada sinaran cahaya matahari di dalam jangkamasa yang lama. Andaikan selepas pulang dari percutian pantai atau pulau-pulau, kebarangkalian untuk mendapat sunburn adalah sangat tinggi. Lebi-lebih lagi jika tidak membuat persediaan awal, main terjah pergi mandi laut.

Jika masuk pejabat, tentu ada yang gatal mulut menegur, “Eh, hitamnya muka kau!”. Untuk pengetahuan, faktor pemanasan juga global sering dihubungkaitkan dengan gejala sunburn.


Bagaimana sunburn boleh berlaku?

 

Kulit mempunyai pigmen yang dikenali sebagai melanin. Ia berperanan menentukan corak dan warna kulit, serta melindungi kulit daripada radiasi cahaya ultra ungu.

Melanin merupakan mekanisma semulajadi kulit tetapi pendedahan kepada sinaran matahari yang lama akan menyebabkan radiasi cahaya ultra ungu mengatasi melanin kulit dan menyebabkan sunburn.

Sunburn akan berlaku sekiranya kulit terdedah kepada sinaran matahari secara langsung melebihi 30 minit. Kanak-kanak dan warga tua yang memiliki kulit sensitif lebih mudah terkena sunburn.

Orang berkulit cerah juga mempunyai kandungan melanin yang rendah dan mereka juga lebih mudah terkena sunburn daripada orang yang berkulit gelap.


Bagaimana mengelakkan dari terkena sunburn?

 

1. Anda harus menghindari sinaran matahari diantara 10 pagi dan 3 petang, kerana waktu inilah radiasi ultra ungu sangat kuat.
2. Jika anda harus melakukan aktiviti luar rumah, anda harus menggunakan losyen penghalang/penapis cahaya (sunblock/sunscreen).


Apa beza sunblock dan sunscreen?

 

Sunblock bertindak menghalang cahaya matahari dan memantulkan radiasi ultra ungu daripada terkena kulit. Ia mengandungi Zink Oksida atau Titanium Dioksida. Sunblock hanya memberikan perlindungin kepada kulit secara luaran dengan menghalang radiasi Ultra Ungu Beta (UVB). Ia sesuai digunakan oleh mereka yang mempunyai kulit sensitif.
Manakala, sunscreen meresap ke dalam lapisan dermis kulit dan mampu menangkis radiasi Ultra Ungu Alpha (UVA). UVA merosakkan kulit lebih teruk berbanding UVB. Sunscreen mengandung Avobenzone dan Oxybenzone. Maka tidak sesuai digunakan mereka yang mempunyai kulit sensitif.


Terdapat tiga tahap sunburn:

 

1. Sunburn tahap pertama atau ringan – Kulit kemerah-merahan, disertai dengan rasa sakit.

2. Sunburn tahap kedua – Terdapat gelembung yang berisi cairan, disertai rasa sakit.

3. Sunburn tahap ketiga atau berat – Perlu perhatian Doktor dengan segera.


Apa tanda-tanda terkena sunburn?

 

Menurut Kementerian Kesihatan, berikut adalah antara kesan dan akibat terdedah pada cahaya matahari:


1. Kesan terbakar kepada cahaya matahari yang sederhana:

  • Kulit merah dan sedikit bengkak, gatal kulit dan berasa panas serta kering
  • Otot anda mungkin berasa sakit dan kulit akan menggelupas selepas beberapa hari

2. Kesan terbakar kepada cahaya matahari yang teruk:

  • Kulit sangat merah, bengkak dan menggelupas
  • Anda mungkin mengalami kesakitan yang kuat dan tidak dapat menahan sakit apabila baju tersentuh kulit anda
  • Anda mungkin demam, rasa sejuk, lemah badan; dan perlu mendapatkan nasihat doktor dengan segera
  • Kemerahan kulit boleh bermula dalam masa 2-4 jam sebaik sahaja terdedah kepada sinaran matahari dan mencapai tahap kemuncak 24-48 jam kemudian.


Cara-cara menghilangkan dan merawat kulit yang terkena sunburn

 

Kulit manusia mampu untuk pulih sendiri. Sunburn tahap 1 biasanya akan pulih dalam masa 2 – 6 hari. Untuk membantu kulit anda pulih dan mengurangkan rasa tidak selesa, anda boleh menggunakan tip-tip yang berikut:

1. Gunakan losyen yang mengandung lidah buaya (aloe vera). Lidah buaya meringankan rasa perit pada kulit dan membantu tubuh menghasilkan sel kulit yang baru.

2. Gunakan krim hydrocortisone. Ini dapat mengurangkan radang kulit dan rasa gatal-gatal.

3. Gunakan yogurt. Yogurt yang tidak bercampur apa-apa perisa (Plain Yoghurt) membantu melembapkan kulit yang terkena sunburn.

4. Gunakan cuka. Tuangkan cuka putih atau cuka epal ke atas kertas tisu dan lekatkan pada bahagian kulit yang terkena sunburn. Ianya menghilangkan rasa perit.

5. Gunakan teh hitam atau teh hijau. Teh hitam atau teh hijau mengandungi tannins dan komponen lainnya yang yang dapat mengurangkan bengkak pada kulit atau rasa pedih akibat sunburn.

6. Gunakan timun dan kentang. Potongan timun atau kentang dapat menyejukkan kulit dan meredakan rasa sakit, rasa perit, rasa gatal-gatal dan bengkak.

7. Gunakan serbuk penaik (baking soda). Campurkan baking soda dengan cuka, lalu sapukan pada kulit yang terkena sunburn sebelum tidur dan biarkan semalaman.

8. Gunakan oatmeal. Jika bahagian kulit yang terkena sunburn luas, kisar satu mangkuk oatmeal, tuangkan dalam baldi dan gunakannya untuk mandi.