Saturday 21 November 2015

Sebab dan Punca Suami Bosan Dengan Isteri

 


Setiap isteri tempatnya di sisi suami. Biar seburuk mana pun sikapnya, dialah pasangan yang kita pilih untuk hidup bersama hingga ke hujung nyawa. Oleh itu, sebolehnya para isteri ini lakukan yang terbaik buat suami. Di peringkat awal mungkin banyak perkara yang tidak menepati cita rasa, tetapi ia cuba diperbaiki dari semasa ke semasa. Boleh dikatakan, kebanyakan isteri sentiasa mencari ilmu-ilmu yang bermanfaat untuk diterapkan dalam keluarganya. Sama ada formal atau tidak formal, wanita-wanita bergelar isteri dan ibu ini tidak pernah lelah berusaha untuk menambat hati insan-insan kesayangannya.

Apabila berbicara perihal pemantapan keluarga, ada ketikanya isteri-isteri ini terlepas pandang hingga menggugat sedikit sebanyak kecintaan suami. Semuanya gara-gara sikap isteri itu sendiri kerana ada di antaranya sudah sebati dalam diri. Mungkin ia dikira sesuatu yang remeh, tetapi bagi suami pula sebaliknya. Secara tidak langsung, perkara sebeginilah yang boleh mengganggu-gugat keharmonian sesebuah rumah tangga. Mungkin ramai yang tertanya-tanya, apakah sikap-sikap yang menimbulkan kemarahan dan kebosanan para suami di luar sana. Jawapannya ada di bawah :

Punca-Punca Suami Bosan Dengan Sikap Isteri:

Ambil masa yang lama untuk berdandan 
 
Boleh dikatakan rata-rata suami mudah bosan apabila menunggu isteri bersiap atau berdandan hanya untuk keluar membelibelah di pasaraya berdekatan. Jangan tidak percaya, memang ada wanita yang bersikap demikian kerana bagi mereka kecantikan adalah perkara yang perlu dititikberatkan. Hal sebegini benar-benar membuatkan suami pening kepala. Mengapa perlu masa yang terlalu lama diambil untuk satu-satu kerja.? Biarpun nampak kecil di mata isteri tetapi jika dalam seminggu dua tiga kali suami mengajak keluar dan anda masih dengan cara yang sama maka tidak hairanlah selepas ini pelawaan untuk keluar bersama tiada. Jangan menyesal…

Sensitif bila dilabel mata keranjang
 
Senario biasa di pusat membelibelah.Para isteri pasti tertancap matanya ke arah iklan jualan murah sementara suami lebih gemar mengambil masa sendiri untuk melakukan aktiviti yang digemari. Bagaimanapun, ada segelintir isteri beranggapan suaminya ‘meliarkan pandangan’ ke arah wanita lain sedangkan ia tidak berlaku. ‘Gatal’, pasti itu respons pertama yang diberi oleh isteri tetapi apa yang tersirat di hati suami tidak pula diketahui. Memang, fitrah lelaki yang mudah tertarik kepada wanita tetapi itu tidak bermakna mereka menaruh hati untuk menambah ‘cawangan baru’. Hakikatnya, mereka tidak suka dilempar tuduhan yang melulu, lebih-lebih lagi berbaur cemburu. Maklum sahajalah, ego mereka cukup tinggi walaupun ada kebenaran tetapi sebaiknya simpan sahajalah prasangka sebelum ada bukti-bukti yang nyata.

Mengeluh tiada baju yang sesuai
 
Sedar atau tidak, anda sebenarnya telah membuatkan suami marah apabila mengeluh tak cukup baju. Sedangkan, bila dibelek dalam almari, koleksi baju tersusun rapi di penyangkut. Bukan sedikit-sedikit jumlahnya tetapi masih berani mengaku tiada baju yang boleh dipakai lagi. Kata-kata begini mungkin normal bagi isteri, tetapi menyakitkan hati suami. Sudahlah lambat berdandan, lambat pula memilih pakaian. Jadi, usah terkejut apabila suami hilang kesabaran dengan menghamburkan kata-kata yang kurang enak didengar.

Salah pilih topik untuk bercerita
 
Sedarlah bahawa lelaki dan wanita jauh berbeza. Baik daripada segi pemikiran, perbuatan, minat, sikap dan macam-macam lagi, semuanya tak sama. Jika wanita gemar bercerita mengenai cara untuk mantapkan hubungan rumah tangga tetapi suami pula sebaliknya. Boleh bercerita tetapi janganlah ambil masa yang lama. Ini tidak, terus menerus bercakap daripada hal pengurusan rumah sampailah keperluan anak-anak. Habis dikeluarkan pada satu-satu masa. Ketahuilah bahawa suami mudah bosan apabila diajak berbual tentang satu topic yang berat pada tempoh yang panjang. Mereka sebenarnya mengidamkan topiktopik romantis dan bukannya cerita-cerita yang memeningkan kepala. Kalau sekali dua mungkin ada maafnya, ini tidak. Setiap kali bersua pasti itulah jadi bahan utama. Tidak mustahil sekiranya ia berlarutan boleh mencetuskan perbalahan. Untuk itu berwaspadalah dengan apa yang anda katakan.

Komen tentang berat badan suami 
 
Pasti anda pernah mengkritik berat badan suami. Kata-kata yang anda fikirkan tidak apa-apa rupa-rupanya mengguris perasaannya. Silap hari bulan boleh mencetuskan perbalahan. Ketahuilah berdiet dan melakukan senaman adalah perkara yang kurang gemar dilakukan oleh segelintir lelaki. Maka tidak hairanlah apabila perut mereka buncit dan berat badan bertambah. Cuba bayangkan jika kata-kata yang sama ditujukan kepada anda. Apa perasaannya? Begitu jugalah dengan mereka. Maka jalan yang paling baik adalah dengan member nasihat ketika dia dalam keadaan yang tenang. Dalam masa yang sama, sediakan menu-menu sihat yang bukan dikhaskan untuk dirinya sahaja tetapi semua ahli keluarga.