Mungkin tercari-cari cara nak memujuk
isteri anda yang merajuk di sebabkan perbuatan anda. Di sini disediakan
cara-cara nak memujuk isteri anda…Wanita memang suka dipuji, tapi
hairannya biar pun mengetahui perkara ini ramai lelaki tidak
mengendahkannya. Tidak mustahil pujian terakhir yang didengar daripada
seorang isteri dari mulut suami adalah ketika mereka dalam fasa
bercinta.
Memasuki alam rumah tangga, kata-kata
manis memuji isteri sudah tidak lagi kedengaran. Malah ada isteri yang
kempunan untuk mendengarnya dari mulut suami. Pujian yang didengar
apatah lagi dari mulut suami sangat bermakna buat seorang wanita. Ia
satu bentuk penghargaan yang boleh meningkatkan motivasi.
Tahukah para suami bahawa dengan hanya
memuji hidangan yang disediakan isteri enak, hati wanita akan berbunga
dan akan bersemangat untuk terus menyediakan menu yang lebih lazat untuk
suami tercinta.
Panduan Memuji
Memberi pujian memang cukup mudah sekali
tapi, ada juga lelaki yang terjebak dengan masalah gara-gara silap
memberi pujian. Sememangnya memuji wanita itu ada aturannya, jadi bagi
suami yang belum mengetahuinya, eloklah membaca panduan di bawah ini.
1. Memuji Tanpa Ada Udang Di Sebalik Batu
Ada suami yang meluahkan pujian bila
mahukan sesuatu daripada isterinya. Malah ada juga yang hanya memuji
isteri tatkala berkehendakkan layanan batin di malam hari. Sebenarnya
jangan terlalu kerap memberi pujian yang berbau erotis kerana tak
mustahil isteri beranggapan bahawa suami menganggap dirinya sebagai objek pemuas seks saja.
2. Dalam Bentuk Kalimat
Luahan pujian selain secara lisan adalah
dalam bentuk bahasa tubuh seperti sentuhan. Tak kurang juga hanya
dengan cara pandangan dan siulan. Tapi lelaki yang memuji dengan cara
ini, menunjukkan mereka tidak kreatif. Wanita yang dipuji juga boleh
berasa kurang selesa. Pujian yang lebih tepat adalah melalui kata-kata.
Tatap mata isteri dan luahkan kata-kata manis buat dirinya. Cara ini
lebih berkesan malah hingga menusuk ke jiwa.
4. Tidak Berlebih-lebihan
Walau wanita itu senang dan suka bila
dipuji, tetapi kalau pujian itu “over” ia boleh membuatkan dirinya tidak
selesa. Lebih-lebih lagi jika seseorang wanita itu bersifat amat
pemalu. Pujian berlebihan terutama sekali di hadapan rakan atau ahli
keluarga akan membuatkan dirinya jadi serba tak kena.
Sebaiknya pujilah isteri pada perkara
yang patut dipuji. Misalnya jika isteri pandai merias rumah, katakan
bahawa dirinya punya bakat terpendam dalam seni hiasan dalaman, begitu
juga kalau isteri pandai bergaya, kata bahawa dirinya pandai mengikuti
fesyen semasa.
5. Ikhlas
Pujian yang diberikan oleh seorang suami
tentunya lebih bermakna jika ia adalah ikhlas dari hati. Bukan kerana
mahu menampilkan diri adalah seorang suami yang ramah, atau mengharapkan
pujian balik.
6. Belajarlah
Akhir sekali seni memuji isteri ini
bukan datang begitu saja. Anda perlu belajar memuji barulah skil itu
kelihatan seperti semula jadi. Oleh itu selalulah memuji isteri, bukan
itu saja puji juga ahli keluarga dan majikan anda kerana tiada ruginya
tindakan yang anda tahu memberi kegembiraan pada seseorang.
Perkara Kecil Namun Bermakna Buat Wanita
Perkara yang bermakna buat wanita
bukanlah dengan hanya memberikan mereka hadiah yang mahal seperti
kereta, emas berlian mahupun rumah yang cantik. Sebenarnya
perkara-perkara kecil yang dilakukan oleh suami boleh saja memberi kesan
yang besar dan bermakna buat diri mereka. Tindakan-tindakan yang mudah
ini boleh membuatkan isteri rasa benar-benar dicintai dan disayangi.
1. Pujian Meskipun Tanpa Solekan
Ketika baru bangun dari tidur, suami
memuji kecantikan. Tentunya perkara ini datang dari keikhlasan hati.
Malah pujian sebegini memberi mood dan membuat dirinya ceria sepanjang
hari.
2. Mendengarkan Keluhan
Setelah sepanjang hari bekerja, wanita
selalunya mahu meluahkan apa yang dilalui. Ketika suami mendengar luahan
ini tanpa menghakimi, isteri akan berasa lega dan merasai dirinya punya
pasangan yang cukup memahami.
3. Bantuan Tanpa Dipinta
Ketika isteri sedang membawa barang
berat, suami pantas membantu tanpa perlu diminta. Begitu juga tindakan
suami membantu kerja-kerja rumah tatkala melihat isteri kepenatan. Ini
memberi petanda bahawa suami begitu prihatin tentang dirinya.
4. Memikirkan Hal-hal Kecil
Ketika gula atau kopi di rumah sudah
habis, tanpa diminta si dia sudah membelikannya untuk anda. Ketika suami
mengingati perkara-perkara yang dilupai isteri, suami akan makin dicintai.
5. Membuatkan Teh/Minuman
Suami memang suka bila isteri melayani
makan dan minumnya. Tapi jika sesekali suami pula berbuat demikian pada
isteri, tentunya isteri rasa gembira dan bahagia sekali. Dijamin isteri
akan tersenyum sepanjang hari.
Sumber: Mingguan Wanita