Wednesday 2 December 2015

Petua Menghilangkan Parut Chicken Pox, Cara Tradisional

 


Pernah kena chicken pox? Semua orang pasti pernah merasainya sekali. Bagi yang tidak bernasib baik, bila terkena chicken pox semasa kecil, parut di muka kekal sehingga dewasa! Adakah cara menghilangkan parut chicken pox ini? 

Bagaimana dengan rasa gatal yang melampau?

Kami akan kongsikan bersama nanti.


Apakah itu Chicken Pox?

 

Chicken Pox juga dikenali sebagai Cacar Air. Ianya adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus varicella-zoster. Cara merebak atau berjangkitnya virus ini adalah melalui bersin, selsema, batuk dan cecair ruam dari orang yang dijangkiti penyakit ini.

Kebiasaannya mereka yang dijangkiti penyakit ini akan berada dalam tempoh dorman iaitu dalam keadaan rehat atau tidak aktif selama 14-16 hari sebelum simptom awal terbentuk seperti demam, batuk dan selsema.

Selepas 2-3 hari, kulit pesakit akan mula mengeluarkan ruam merah yang gatal dan melepuh. Ruam melepuh ini kemudiannya akan merebak ke seluruh badan dalam tempoh 5-7 hari yang berikutnya dan diikuti dengan pembentukan kerak kering pada permukaan ruam. Biasanya seseorang pesakit akan mengambil masa selama 10-14 hari untuk pulih daripada jangkitan virus ini.

Ramai tertanya-tanya, apakah petua menghilangkan parut chicken pox?


Petua Menghilangkan Parut Chicken Pox

 

A. Petua Tradisional Dari Orang Asli

 

Informasi yang diambil dari blog saudara Zaris bagi mengubati penyakit chicken pox sekaligus supaya tidak meninggalkan parut di badan dan muka. Maksudnya, petua menghilangkan parut chicken pox ini perlu digunakan semasa kita sedang mengalami demam ini lagi. Bukan semasa sudah sembuh.

Lebih baik mencegah dan mengetahui petua menghilangkan parut chicken pox terlebih dahulu, supaya tidak sesal di kemudian hari. Kalau berparut dan berbekas di muka, bagaimana?

Orang Asli menggunakan buah kelapa tua, tetapi kulitnya masih berwarna hijau. Dalam kata yang lain, kelapa tersebut apabila digoncang akan kedengaran kocakan air di dalam buahnya, menandakan sudah tua, tetapi kulit luarnya masih belum bertukar warna menjadi warna coklat.

Seterusnya kelapa tersebut dikupas, dibelah tempurung dan diambil isinya. Kemudian dicampur air dan diperah untuk mendapatkan santannya. Santan kelapa tersebut kemudiannya dimasak sehingga keluar minyak kelapa. Proses memasak tersebut agak lama, iaitu sehingga menggelegak dan bahagian atas mengeluarkan minyak kelapa. Minyak tersebut diambil untuk disimpan bagi kegunaan harian seperti memasak dan mengurut.

Apabila semakin banyak minyak yang terhasil, maka akan ada sisa-sisa santan yang dikenali sebagai ‘tahi minyak‘ di bahagian dasar kuali atau periuk. Maka tahi minyak itulah yang akan digunakan untuk ditempelkan kepada badan yang ditumbuhi butiran cacar tersebut. Masa meletakkan tahi minyak pula bila mana butiran tersebut baru pecah, jangan sampai sudah kering dan berparut. Begitu juga jangan disapu ketika butiran baru tumbuh dan pecah semuanya.

Semoga petua menghilangkan parut chicken pox secara tradisional ini berguna!


B. Petua Menghilangkan Demam Chicken Pox Guna Barang Di Rumah

 

Petua ini dikongsikan oleh Puan Nurul Aziyana:


1. Baking Soda

Baking soda adalah salah satu ubat yang popular untuk memberi bantuan dari gatal-gatal apabila mengalami cacar air. Menyapu baking soda pada kulit boleh mengelakkan lepuh dan ruam menjadi semakin teruk.

2. Madu untuk Penyembuhan Cacar

Madu adalah komponen antibakteria semula jadi yang sangat bagus untuk menyembuhkan kerengsaan. Dikatakan bahawa gula ringkas semula jadi yang terkandung dalam madu bersama-sama dengan ciri-ciri anti-bakteria itu mencipta kesan menenangkan ini.

3. Mandian oatmeal

Oatmeal bukan sahaja dimakan untuk kesihatan jantung dan kurangkan kolestrol malah merupakan salah satu penawar bagi chickenpox. Oatmeal yang dijadikan sebagai bahan rendaman dalam air mandian boleh membantu melegakan kegatalan akibat daripada ruam dan lepuh.

4. Mandian Garam Epson

Garam Epsom, yg sebenarnya bukanlah garam tapi merupakan sebatian mineral yang terdiri daripada magnesium dan sulfat dan boleh menjadi sangat berguna untuk melegakan gatal-gatal disebabkan oleh cacar air. Mineral dalam garam Epsom juga melegakan kesakitan dan melegakan keradangan kulit yang berkaitan dengan cacar air.

5. Bunga Jasmine

Ini adalah salah satu cara orang Thailand untuk merawat cacar air. Orang di Thailand menggunakan bunga melati untuk membuat teh dan juga untuk mandi bagi merawat cacar air. Bunga-bunga ini mudah didapati di mana-mana kedai-kedai ubat herba dan juga kedai-kedai teh herba.

6. Mandian Halia

Ini merupakan satu lagi ubat herba Thai untuk cacar air bertujuan untuk mengurangkan gatal-gatal yang disebabkan oleh penyakit ini. Walaupun teh halia boleh diminum dengan merebus buah halia dalam air, mandi halia juga boleh dilakukan untuk menghilangkan gatal-gatal namun ianya bukan serta merta.


C. Petua Menghilangkan Chicken Pox Cara Moden

 

Kami sudah kongsikan petua menghilangkan parut chicken pox secara tradisional. Bagaimana pula merawat dengan kaedah moden?

Menurut Dr. Muhammad Akbar Abdullah, beberapa petua bagi pesakit yang menghidapi penyakit ini adalah seperti berikut;

1. Mandi

Ramai di kalangan para pesakit takut untuk mandi kerana kuatir akan mengalami bentan. Namun dari sudut perubatan, pesakit digalakkan mandi untuk meredakan demam dan membersihkan kerak kering yang terbentuk pada permukaan kulit.

Di samping itu, dengan mandi, ianya dapat mengurangkan rasa gatal pada permukaan ruam. Dinasihatkan mandi dengan menggunakan air sejuk kerana air yang panas turut boleh mengakibatkan kulit menjadi gatal. Sebagai tambahan untuk mengurangkan radang pada ruam kulit, dicadangkan menggunakan sabun yang boleh menstabilkan pH kulit seperti sabun Sebamed.

2. Potong dan bersihkan kuku yang panjang

Jangan biarkan kuku pesakit panjang kerana ruam yang gatal akan cenderung untuk membuatkan pesakit menggaru. Kuku yang panjang akan memudahkan virus dari ruam melekat pada belakang kuku dan menjangkiti orang lain.

3. Elakkan berada di tempat yang panas

Suasana yang panas akan membuatkan seseorang pesakit berpeluh dan ianya akan mudah menyebabkan ruam kulit berasa gatal. Pastikan pesakit duduk di tempat yang berangin.

4. Berhati-hati dengan diet yang diambil

Para pesakit digalakkan mengambil diet yang boleh meningkatkan sistem imunisasi badan seperti buah-buahan yang kaya dengan Vitamin C dan sayur-sayuran. Sebaliknya, elakkan pengambilan makanan daripada produk tenusu, daging, dan telur kerana ianya boleh menyebabkan kulit mudah berasa gatal.

5. Minum air kosong yang banyak untuk mengelak dehidrasi

Demam yang tinggi semasa dijangkiti cacar air boleh mengakibat seseorang pesakit kehilangan air lebih banyak daripada biasa. Dehidrasi akan melambatkan metabolisme di dalam badan dan melemahkan sistem imunisasi seseorang pesakit. Ini akan mengakibatkan pesakit lambat untuk pulih.

6. Elakkan daripada menyapu krim yang mengandungi steroid pada ruam

Krim yang mengandungi steroid yang biasanya digunakan untuk merawat alahan kulit sangat tidak sesuai digunakan untuk ruam cacar air. Steroid akan merencat sistem imunisasi pada kulit dan menyebabkan virus merebak lebih cepat dan banyak.


Diet Untuk Pesakit Demam Chicken Pox

 

1. Makan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan yang boleh menyediakan badan dengan phyto- nutrien yang diperlukan untuk menguatkan sistem imun.

2. Minum jus yang kaya dengan vitamin A dan C. Jus Lobak Merah dengan daun ketumbar dan sedikit jus lemon adalah baik untuk mengubati cacar air. Tambah madu untuk untuk menjadikannya lebih berkhasiat.


3. Makan sup ayam dan sup sayur-sayuran.


4. Elakkan makanan bergula dan diproses serta soda.


5. Hadkan pengambilan produk tenusu tetapi yogurt boleh diambil.


6. Hadkan pengambilan daging , roti atau makanan lain yang meletakkan tekanan pada sistem pencernaan.


7. Elakkan garam, cili , mentega dan makanan pedas.


8. Minum banyak air.