Saturday, 21 November 2015

Adakah Layak Suami Dihormati?

Perlukah Isteri Menghormati Suami?


Secara lazimnya umum tahu itu malah amat memahaminya tetapi jangan lupa, suami juga manusia biasa yang tidak lepas dari berbuat salah dan silap. Walaupun memang kelemahan itu diakui ada pada setiap manusia tetapi ianya boleh dielakkan. Keengkaran mengelakkan berlakunya kelemahan inilah yang boleh menghilangkan kelayakan suami untuk dihormati sebagai suami.

Jangan cepat melatah! Bukan maksud untuk menjatuhkan harga diri lelaki bernama suami atau untuk menggalakkan para isteri agar tidak menghormati suami mereka. Tujuannya adalah untuk membincangkan topik ini untuk menyedarkan para suami tentang tanggungjawab yang sewajarnya mereka lakukan terhadap isteri dan anak-anak. Bukan hanya mendabik dada mengakui… akulah suami, akulah ketua keluarga, setiap kataku adalah perintah yang perlu dipatuhi… tetapi apabila tiba kepada aspek menunaikan tanggungjawab, langsung tak boleh diharap! Habis terlungkup!!

Kebiasaannya para pembaca semua biasa mendengar pesanan kepada pengantin perempuan… “jaga suami elok-elok, jaga makan minum dan pakainya, jangan benarkan suami mencium yang tak elok pada kita” dan macam-macam lagi yang perlu isteri lakukan kepada suami. Kepada pengantin lelaki pula… “lega lah kau lepas ni, dah ada orang jaga makan minum dan pakai kau!! Tak der ler makan nasi bungkus atau pakai baju tak bergosok lagi!! “

Jarang sangat nak dengar pesanan kepada pengantin lelaki… “jadi suami ni tanggungjawabnya berat, makan minum dan pakai isteri kena jaga, segala perlakuan isteri yang melanggar hukum agama jika tak dilarang maka suami akan sama menanggung dosa, bila dah ada anak-anak pula kena didik agar jadi insan yang berguna”…

Berapa keratkah yang bertuah mendapat pesanan sedemikian? Inilah masalah di dalam masyarakat kita. Mengharapkan keputusan yang baik tetapi silap memberikan tunjuk ajar.

Sekarang ini semua bakal pengantin perlu hadiri kursus pra perkahwinan dan semua tu dah diterangkan. Persoalannya, apakah semua yang mengikuti kursus tersebut benar-benar menghayati ilmu yang disampaikan? Ada yang menghayati, mengetahui tetapi enggan mempraktikkan, inilah insan yang paling malang. Sebagai ketua keluarga, seorang suami wajib menanggung segala keperluan rumah tangga dengan sedaya upayanya. Saya letakkan sedaya upaya bagi menegaskan bahawa seorang suami perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi melaksanakan tanggungjawabnya menunaikan nafkah dan perbelanjaan keluarga.

Jika usaha telah dilakukan namun masih tidak berhasil, di sinilah rukhsah atau pengecualian yang Islam benarkan agar tanggungjawab tersebut dibantu oleh isteri sebagai rakan kongsi hidup berumahtangga. Tetapi, jangan salah menggunakan rukhsah yang diberi seperti berani memasuki gerbang perkahwinan walau tiada punca pendapatan yang dapat menjamin saraan hidup diri sendiri apatah lagi isteri. Rukhsah hanyalah bagi kes-kes seperti kehilangan kerja atau ketidakupayaan yang wujud selepas diri berupaya menyara keluarga.
Bukan sekadar perbelanjaan atau sara hidup, suami juga mesti menghargai kewujudan isteri di sisi. Jaga hati dan perasaannya. Jika suami ingin dihargai, sama jugak dengan isteri. Isteri tidak inginkan sanjungan atau limpahan berlian memadailah jika suami menghargai kasih sayangnya, menyintainya dan setia pada cintanya. Isteri sanggup berkorban segalanya termasuk menggadaikan nyawa bagi menyatakan cintanya dengan melahirkan zuriat untuk suami, wajarkah semua itu suamiu pandang sepi sahaja?

Berkongsi cerita mengenai seorang wanita meluahkan rasa hatinya tentang sikap si suami yang tidak pernah mempedulikan dirinya setiap kali perutnya mula membesar. Bukan sekali tetapi tika itu dah empat kali dan bukan sekadar tak peduli bahkan si suami mengabaikan semua tanggungjawab malah mencari pengganti. Bila dah kempis kembali barulah si suami terhegeh-hegeh menjengah isteri. Suami macam ni memang tak layak dihormati.

Mungkin ada di kalangan suami yang cakap, kami bukan mendera isteri atau tak menghargai… kami suruh dia lakukan semua kerja untuk kami malah menolong kami tunaikan tanggungjawab kepada keluarga untuk menolong isteri kami mendapatkan status isteri solehah. Oooo, kalau isteri pandai pulak suami nak jadikan isteri yang solehah, habis tu, suami tak nak jadi suami yang soleh? Berbangga menjadi suami ala-ala mat saleh?

Maaf jika ada yang rasa ia agak keras dengan perbincangan kali ini. Rasa perlu semua ini didedahkan kerana sering sangat terdengar para suami berceloteh mengomel isteri tak buat itu, tak buat ini… yang sebenarnya memang bukan tanggungjawab isteri.

Bila isteri mula menuntut hak diri dah kata pula isteri tak hormati suami sedangkan isteri dah tolong ringankan beban suami.

Seruan kepada semua suami dan isteri juga, ingatlah, bukan kita sahaja yang ada hati dan perasaan, jika kita ingin dihormati dan dihargai, begitu juga orang lain termasuklah pasangan hidup kita lantas tunaikanlah tanggungjawab dan kewajipan yang patut agar cinta terus mekar dan dapat kecapi bahagia di dalam hidup, insyaAllah!