
Wanita mudah mempercayai lelaki
khususnya lelaki yang disayangi. Terdapat beberpa ciri-ciri wanita yang
disering ditipu dan mudah ditipu oleh lelaki
1. Wanita yang terlalu mudah mempercayai lelaki.
Dah sayang la katakan… jadi apa sahaja
yang lelaki/pasangan katakan, kepercayaan adalah seratus peratus. Bukan
maksud saya percaya separuh-separuh atau percaya pasangan jangan sampai
100%, tetapi maksud saya mudah percaya yang membuta-tuli dan menerima
apa sahaja tanpa menggunakan akal fikiran yang waras adalah amat tidak
wajar.
Contoh mudah: Pasangan anda berkerja
sebagai seorang kerani dan gaji bulanannya sebanyak RM1000.00 sebulan
bersih(dah ditolak KWSP dsb.). Anda pula memang tahu status kewangan dan
“pattern” perbelanjaannya. Dia ada banyak tanggungjawab, bil-bil untuk
dijelaskan setiap bulan dan sebagainya. Kira gajinya cukup-cukup sahaja.
Satu hari dia membelikan anda cincin
emas berharga RM700.00. Anda tanya, “Mana dapat duit?”. Dia kata, lama
dah simpan khas untuk “surprise”kan anda. Oklah, boleh terima.
Bila anda tengok pakaiannya pula
berjenama. Dia mula “shopping sakan” dan anda pun dia belikan bermacam
barangan lagi. Anda tanya lagi, “Mana dapat duit?”. Dia kata, “ada la
“bisnes” dengan kawan… ” Anda pun percaya terus…
Soalan di sini, dalam senario di atas,
tidakkah anda rasa musykil dan bermacam soalan lagi bermain dalam kotak
fikiran tentang jawapan mudah seperti itu? Atau anda tergolong dalam
wanita yang terus percaya 100% tanpa banyak soal lagi?
Ingat! Lelaki yang berterus-terang dan
jujur dengan pasangannya akan menyatakan, menjelaskan dengan
selengkapnya tentang apa yang ditanya atau diragui oleh pasangannya. Dia
tidak akan menyembunyikan apa pun kerana baginya, wanita yang
disayanginya bukan sahaja tempat berkasih, malah tempat berkongsi apa
sahaja. Lagi pun, nak rahsia apa, bukan dengan orang lain?
Jadi, sekiranya ada sesuatu yang anda
rasa ragu-ragu, perlu ditanya kepada pasangan anda, jangan tunggu,
jangan simpan. Cuma pastikan anda bertanya kepada dia pada masa dan
keadaan yang sesuailah. Percaya secara total dan “semborono” boleh
meletakkan anda dalam bahaya.
Contoh dalam senario di atas tadi,
menjadi rakan kongsi untuk mengedar dadah adalah maksud sebenar dia
berkenaan ayat, “ada la bisnes dengan kawan…”.
Kalau ini berlaku… macamana?
2. Wanita yang “terdesak” untuk berkahwin.
Umur yang semakin lanjut membuatkan
ramai wanita yang belum berpasangan risau akan status diri. Walaupun
pada zaman yang semakin canggih ini, melihat wanita yang berkerjaya
lewat berkahwin adalah perkara biasa, namun majoriti wanita yang semakin
meningkat umurnya risau jika masih belum mempunyai pasangan hidup.
Kerisauan terhadap faktor umur yang
meningkat, tekanan ibu bapa, pandangan masyarakat, dan juga kerisauan
terhadap peluang untuk mendapatkan cahaya mata yang semakin kurang jika
kahwin lewat mampu menyebabkan sesetengah wanita seolah-olah “terdesak”
untuk mencari pasangan hidup.
Dalam keadaan seperti ini, kadangkala
mereka boleh “terlepas pandang” tentang sikap, kualiti, dan peribadi
lelaki yang dipilihnya itu.
Wanita yang berkahwin lewat pada zaman
ini pula kebanyakannya berkerjaya secara tidak langsung membawa maksud
mereka sudah mempunyai tahap kewangan yang stabil.
Ini memungkinkan mereka menjadi mangsa
“buaya professional” yang sentiasa mencari peluang untuk mengambil
kesempatan ke atas wanita seperti ini. Kalau anda dalam golongan wanita
seperti ini, ingat… biar lambat, asal selamat!
3. Wanita “sosial”.
Ini bukan sosial dari segi terlibat
dengan Mercy Malaysia ke, persatuan wanita di kawasan anda ke, atau
perkara yang seumpamanyalah.
Sosial dalam hal ini ialah suka kepada
“night life”, disko, berparti, “clubbing”, pergaulan bebas tanpa had dan
hidup dengan falsafah “life is short, so have fun!”, atau “masa muda ni
la nak rasa macam-macam..”. Fahamkan maksud saya?
Wanita-wanita ini (lebih ramainya gadis
remaja), yang melibatkan diri dengan cara hidup bebas dan sosial seperti
ini terang-terangan mendedahkan dan “mengiklankan” diri sendiri kepada
“species” lelaki pemangsa wanita.
Bersosial tanpa batasan adalah di antara
resepi utama yang menyebabkan ramai wanita dan gadis remaja ditipu
sekaligus dirosakkan oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab.
Tepuk dada, tanya selera!
4. Wanita yang tidak mementingkan ilmu.
Wanita yang mementingkan ilmu dalam
konteks percintaan, perkahwinan dan memilih pasangan hidup bukanlah
bermaksud wanita yang mempunyai ijazah berjela-jela dari universiti
terkenal. Bukan itu sahaja. Kalau itu yang dijadikan ukuran wanita
berilmu, kenapa masih terlalu ramai wanita yang ditipu, dihina,
dipermainkan, dan sebagainyalah oleh lelaki yang berbahaya?
Wanita yang berilmu dalam konteks ini
ialah wanita yang mampu memandu dirinya supaya tidak “terpilih” lelaki
penipu dan berbahaya. Sekiranya dia “terjebak” dengan lelaki
penipu/berbahaya, dia tahu apa yang perlu dilakukan atau di mana untuk
mendapatkan bantuan yang sewajarnya.
Ia juga bermaksud wanita yang mengetahui
hak-haknya sebagai wanita dan sebagai seorang isteri. Wanita yang
berilmu juga berani “membetulkan” keadaan dan mempertahankan haknya bila
perhubungan/perkahwinannya terganggu/diganggu sama ada oleh pihak
ketiga atau pasangannya sendiri.
Wanita seumpama ini mampu menjadi
pasangan/isteri yang sentiasa menjadi kebanggaan pasangan/suaminya
sendiri dan mempunyai segala sifat sebagai seorang yang cemerlang.
Wanita seperti ini, sentiasa cintakan ilmu. Sentiasa melengkapkan dirinya dengan ilmu selagi hayat dikandung badan.
Wanita yang mempunyai segulung ijazah
atau Ph.D pun boleh ditipu dan dipermainkan lelaki “species berbahaya”
ini…apatah lagi jika wanita yang hanya meletakkan 100% kebahagiaannya ke
atas lelaki dan langsung tidak mahu atau mengambil mudah untuk
meningkatkan ilmu dalam diri?
5. Wanita yang memandang “faktor fizikal” sebagai salah satu ciri utama pada lelaki idamannya.
Mudah jatuh cinta dengan lelaki
handsome? Atau mungkin juga lelaki “cute”, “macho”, dan mempunyai
fizikal yang begitu menggoda hati?
Ingat..semakin “handsome”, “cute”,
“sexy” seseorang lelaki itu, sebenarnya semakinlah anda sebagai wanita
perlu menggandakan “sistem pertahanan” diri. Kalaulah ramai wanita boleh
diperdayakan oleh lelaki yang TAK “handsome” dan seumpamanya, apatah
pula risiko ditipu oleh lelaki yang “handsome”?
Ingat.. “handsome”, “cute”, dan
seumpamanya itu pada seseorang lelaki sepatutnya BUKAN menjadi antara
ciri-ciri utama lelaki idaman wanita. Ia sepatutnya hanya menjadi
ciri-ciri “bonus” lelaki idaman wanita.
Nasihat untuk wanita yang mudah “cair”
dengan lelaki seperti ini, dan menjadikan lelaki seperti ini sebagai
“target” utama ciri bakal pasangan hidupnya: fikir masak-masak!
Anda mungkin sedang diperhatikan oleh “pemangsa handsome dan sexy” yang sentiasa mencari wanita untuk ditipu dan dipermainkan..
6. Wanita yang “sabar” tidak bertempat.
Wanita dalam golongan ini boleh kita
katakan jenis yang selalu “makan hati berulam jantung”, atau mungkin
juga dah sampai tahap “makan tangan berulam kaki”. Dia didera(fizikal
atau perasaan), tidak dihargai, sentiasa diambil kesempatan oleh
pasangan/suaminya namun masih tetap bersama lelaki itu walaupun dia
sedar dia terseksa dan tertekan.
Soalnya di sini, bila diperlakukan
sebegitu, dia hanya “berharap” pasangannya akan berubah pada satu masa
nanti TANPA mengambil tindakan yang sewajarnya.
Tidak salah bersabar. Malah sabar adalah
satu sikap yang baik, dituntut, terpuji, dan mulia. Namun demikian,
sekiranya kesabaran itu akhirnya membawa mudarat terhadap diri sendiri,
sesuatu perlu dilakukan.
Bersabar walau diperlakukan apa sahaja
oleh lelaki/pasangan seperti ini seolah-olah memberi “lesen” kepadanya
untuk terus mendera, menipu, dan menghina maruah wanita yang terlibat.