
Tanpa berselindung atau tanpa disedari,
ramai daripada kita perlu mengakui kebenaran di sebalik bau badan yang
mengganggu ‘ketenteraman’ orang yang berada berhampiran kita. Dengan
cuaca yang tidak menentu dan tekanan kerja yang menimbun, ada dalam
kalangan kita yang lebih tertekan kerana menghadapi masalah bau badan
yang teruk.
Adakalanya masalah peribadi itu
menggugat keyakinan diri individu yang terlibat terutama jika kerjaya
memerlukan mereka kerap bertemu dengan orang ramai. Hubungan sosial juga
sedikit sebanyak terjejas sekali gus memberi kesan buruk pada
persembahan kerja.
Tidak lama dahulu, masalah bau badan
pernah dikatakan menjadi punca keretakan hubungan suami isteri dalam
kalangan masyarakat Malaysia.
Berikutan itu, ramai yang mengambil
jalan mudah untuk mengatasi masalah itu dengan membeli dan memakai
deodaran. Tidak kira jenama, harga dan bahan yang digunakan, asalkan bau
badan dapat dihilangkan dalam sekelip mata, ia sudah memadai.
Namun begitu, tidakkah anda sedar
bahawa itu bukan jawapannya dalam jangka masa panjang. Anda sebenarnya
hanya mengawal atau menutup masalah itu untuk seketika sahaja sebelum
bau badan yang teruk itu muncul semula dalam masa beberapa jam atau
keesokan hari. Tabiat mandi setiap tiga jam sekali pun tidak banyak
membantu dan tidak praktikal untuk diamalkan bagi mengatasi masalah
tersebut.
Sebaliknya, anda perlu memahami sebab mengapa ia berlaku dan apakah cara untuk menanganinya tanpa perlu berbelanja besar.
Bau badan terutama dari bahagian
ketiak dan tapak kaki berlaku disebabkan proses metabolisme bakteria
iaitu corynebacteria atau micrococci. Dalam proses tersebut, bakteria
itu akan memecahkan bahan-bahan organik yang terkandung di dalam kulit.
Hasilnya, ada yang bertukar menjadi peluh dan terlekat pada baju atau
kasut.
Biasanya, bakteria itu akan merebak
dengan cepat di kawasan yang lembap. Ini sekali lagi menjawab
kemusykilan mengapa ia kerap hadir di bahagian bawah tangan, tapak
tangan, lipatan di bahagian belakang lutut dan tapak kaki.
Jika bertanya tentang puncanya pula,
ada pelbagai teori dan tanggapan yang dikemukakan. Semuanya mungkin
sahih cuma sama ada ia menjadi penyumbang utama atau sekunder.
Sekiranya anda mengalami sebarang
penyakit yang berbahaya atau berlanjutan untuk tempoh masa yang lama
seperti sembelit, faktor itu boleh menggalakkan pengeluaran bau badan
yang kurang menyenangkan.
Di samping itu, sesetengah makanan
dan minuman juga mungkin tidak bersesuaian dengan diet kita. Sukar
dikatakan yang mana satu tepat kerana ia berbalik semula kepada latar
belakang kesihatan keluarga, tahap imunisasi badan, alergi dan
lain-lain.
Sekali lagi, seperti yang disebutkan
tadi, tekanan kerja di rumah, pejabat dan di mana-mana sahaja turut
boleh menyumbang kepada masalah ini. Golongan wanita juga mula merasai
masalah itu semasa melalui proses menopaus.
Sebagai alternatif kepada penggunaan
bahan kimia untuk mengatasinya, apa kata kita mencuba beberapa langkah
semudah 1,2,3 yang boleh diamalkan di rumah. Tip ini bergantung kepada
bahan-bahan semula jadi agar tidak merosakkan sistem badan dan pada masa
yang sama, selamat tanpa kesan sampingan.
TANGANI masalah bau badan dengan segera kerana ia turut mengganggu ketenteraman individu berhampiran.
1-Makan 500 miligram rumput gandum
dalam keadaan perut kosong dengan segelas air. Kandungan bahan klorofil
membantu mengurangkan bau badan sekali gus bertindak sebagai rawatan
semula jadi.
2-Sapukan sodium bikarbonat di bahagian ketiak dan tapak kaki kerana ia turut mempunyai keberkesanan tertentu.
3 -Gunakan alkohol (bagi individu yang bukan beragama Islam) atau cuka putih untuk mencuci bahagian ketiak.
4- Masukkan beberapa titisan air mawar ke dalam bekas air mandi. Anda tidak perlu menggunakan deodoran selepas mandi.
5-Kisar buah tomato segar dengan daun teh sage. Sapukan dan biarkan bahan itu di bahagian ketiak selama 10 minit sebelum mandi.
6- Perahkan dua dozen jus lobak
putih yang dicampur dengan ¼ sudu gliserin. Masukkan cecair itu ke dalam
botol penyembur untuk dijadikan deodoran harian. Jus lobak itu boleh
menghilangkan bau badan sehingga 10 jam.
7- Campurkan sedikit sodium bikarbonat dengan jus lemon dan sapukan terus di bahagian bawah tangan atau ketiak.
8- Minyak pohon teh adalah bahan
antibakteria yang sangat berkesan. Campurkan dua titisan minyak esen itu
ke dalam 0.02 liter air.
9- Dalam bekas berisi 30 milimeter air, masukkan 10 titisan minyak esen. Ia kemudian boleh disapu di bahagian ketiak.
10- Basahkan kapas dengan cuka putih
dan lap ketiak. Ia boleh menghilangkan bau badan terutama di bahagian
ketiak dalam masa beberapa minit.
11- Minum segelas teh sage setiap
hari dan ia akan mengurangkan aktiviti pengeluaran peluh yang berlebihan
daripada semua bahagian badan.
12- Salah satu cadangan lain yang
mungkin boleh diamalkan ialah mandi dengan kerap iaitu
sekurang-kurangnya tiga kali dalam sehari.