
Dalam kehidupan seseorang wanita,
penjagaan alat sulit atau alat kelamin amat penting kerana ia berkait
rapat dengan pengeluaran darah haid, hubungan seks dan kehamilan.
Bahagian ini sensitif pada perubahan
persekitaran terutamanya keasidan dan kealkalian (pH) kemaluan wanita.
Perubahan ini samada disebabkan jangkitan kuman, penggunaan sabun atau
faktor fizikal, persekitaran ataupun kebersihan diri. Seseorang wanita
mungkin tidak selesa, gatal, mengeluarkan keputihan yang tidak normal
atau berbau, bengkak alat kelamin dan kesakitan.
Ia juga akan menjejaskan hubungan seks
dan menimbulkan konflik antara suami dan isteri. Disamping itu,
jangkitan kuman tertentu yang berulang boleh merosakkan sistem peranakan
menyebabkan saluran fallopio tersumbat dan menjadikan seseorang itu
sukar mendapat zuriat. Ada beberapa langkah yang boleh dijadikan panduan
untuk menjaga alat kelamin atau reproduktif wanita.
Langkah-langkah penjagaan alat kelamin yang disyorkan:
- Membersihkan bahagian luar kemaluan selepas buang air kecil atau air besar, seelok-eloknya menggunakan air.
- Ketika haid, wanita dinasihatkan kerap menukar tuala wanita terutama pada hari-hari yang banyak darah keluar. Ini kerana darah adalah media yang sesuai untuk kuman membiak. Bagi wanita yang menggunakan tampon mereka perlu ingat untuk menukarnya.
- Elak daripada sering mengamalkan douching iatitu memasukkan jari atau pancutan ke dalam faraj dengan tujuan membersihkan bahagian dalam faraj. Perbuatan ini akan menyingkirkan sejenis bakteria lactobacilli dari faraj disamping mendedahkan faraj dan bahagian luar kemaluan kepada bahan kimia yang boleh mengakibatkan iritasi kulit.
- Elakkan menyabun atau menyapu shower gel pada alat kelamin kerana ia mungkin menyebabkan kekeringan dan iritasi kulit atau gatal. Sesetengah wanita sensitif dan alah pada pewangi dalam buih sabun.
- Pasangan suami isteri digalakkan membersih alat kelamin dengan air sebelum dan selepas hubungan seks untuk kebersihan yang optima.
- Amalkan membuang air kecil lebih kurang setengah jam selepas hubungan seks untuk mengurangkan risiko jangkitan kuman pada pundi kencing. Amalan ini berkesan untuk wanita yang sering mengalami jangkitan kuman pundi kencing (urinary tract infection).
- Elakkan memakai pakaian dalam sentetik yang terlalu ketat kerana ia menyebabkan kulit berpeluh, tiada peredaran udara pada kulit dan akhirnya menggalakkan kuman membiak.
- Pakaian dalam perlu ditukar setiap hari dan pada hari-hari mengalami keputihan, elok memakai panty liner supaya ia tidak melekat pada pakaian dalam yang menyebabkan ketidakselesaan.
Jangkitan kuman sering berlaku sekiranya
alat sulit tidak dijaga dengan sempurna. Ini termasuk kuman bakteria,
virus, kulat dan protozoa yang dapat ditularkan melalui hubungan seks
(sexually transmitted disease).
Wanita dan pasangan perlu berjumpa
doktor sakit puan untuk ujian pengesahan dan rawatan spesifik. Paling
kerap berlaku ialah jangkitan kuman atau fungus yang dipanggil candida.
Ia dapat dirawat dengan memasukkan ubat antifungus ataupun ubat pil ke
dalam faraj.
Kumpulan kuman lain yang sering
menyerang wanita ialah bacterial vaginosis. Pesakit akan mengadu
mengeluarkan lendir busuk (fishyodour discharge) dan kegatalan teruk.
Ini dapat dirawat dengan antibiotik spesifik. Wanita juga terdedah
penyakit bengkak pada alat kelamin yang dipanggil bartholin cyst.
Ia terjadi bermula dengan pembengkakan
setempat pada bahagian bawah bibir kemaluan. Pada peringkat awal,
pesakit mungkin tidak perasan kerana saiznya kecil. Cyst ini terbentuk
akibat kelenjar Bartholin tersumbat dan bengkak yang sering terbentuk
disebabkan jangkitan kuman bakteria.
Ia dapat dikawal melalui pembedahan
kecil pada cyst untuk mengeluarkan cecair yang terkumpul di dalam
kelenjar tersebut. Sekiranya ia kerap berulang, dinasihatkan dibedah dan
dikeluarkan.
Bengkak nanah (abcess) dikaitkan dengan
jangkitan kuman dan pesakit mengadu sakit serta demam. Rawatan adalah
secara incisional dan drainage untuk mengeluarkan nanah dan pengambilan
antibiotik. Selain itu, bisul juga boleh terjadi pada wanita yang sering
bercukur. Oleh itu, kebersihan pencukur perlu dititikberatkan.
Penyakit lain yangg turut dikaitkan
dalam masalah ini ialah barah pada bahagian luar alat kelamin (vulva dan
vagina). Namun ia jarang terjadi berbanding barah pangkal rahim, rahim
atau ovari. Ia merangkumi hanya 5 peratus daripada semua jenis barah
sistem produktif wanita.
Penyakit ini sering berlaku pada wanita
yang telah menopaus dengan purata umur 60 tahun. Pesakit akan mengalami
kegatalan berterusan yang teruk diikuti ketumbuhan atau ulser yang kerap
bermula pada bibir luar kemaluan. Rawatan ini merangkumi pembedahan
besar dan radioterapi.